Makanan segera memang wajar digelar makanan remeh. Memandangkan hakikat inilah syarikat-syarikat makanan membelanjakan berjuta-juta ringgit ke atas iklan, penajaan dan promosi untuk meyakinkan orang ramai perkara sebaiknya. Tempat-tempat perniagaan (restoran) mereka didakwa menjadi tempat hiburan untuk kanak-kanak dan keluarga, mengikut aliran semasa dan kita diberitahu makanan itu selamat dimakan dan berkhasiat.
Kami tidak mengatakan semua makanan segera adalah makanan remeh. Ia sememangnya makanan tetapi mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan yang dinikmati sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap dimakan, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan. Tanpa disedari, ia akan mendedahkan anda sekeluarga kepada pelbagai penyakit - mula-mula kerosakan gigi, sembelit, tubuh menggeleber, kegemukan... diikuti oleh tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.
Untuk menunjukkan kepada anda kandungan sebenar makanan segera, di sini disenaraikan makanan ringan (snek) yang biasa anda pesan di sesebuah restoran:
Burger daging (1/2 paun) boleh mengandungi 2 oz lemak tulen. Ia membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.
Ayam goreng: Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperolehi dari lemak). Banyak garam. Ia membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.
Kentang goreng: Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.
Milk Shake: 5 oz susu di dalam 10 oz shake, bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemulsi. Ia juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium, dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.
Cola: Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula). Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanan: kosong.
Secara keseluruhan, kita dapat lihat terdapat sejumlah protein, zat besi, kalsium dan beberapa vitamin yang baik. Namun kebanyakan bahan itu tinggi kandungan kalorinya, direndam dalam lemak dan dipenuhi gula dan garam. Ia kekurangan serat dan kebanyakan vitamin serta zat galian perlu. Apa yang kurang ialah keseimbangannya.
Satu sajian makanan segera membekalkan anda separuh kalori dan dua pertiga lemak serta protein yang anda perlukan sepanjang hari. Tetapi jika anda mengambil sajian makanan ini sebagai makanan ringan, di antara sajian tetap anda, anda akan mendapat lebih banyak kalori, protein, lemak daripada yang diperlukan tubuh. Anda akan kekurangan sesetengah zat makanan perlu yang membentuk diet lengkap dan seimbang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment